1. Sebelum membuka kedai buku, saya banyak mencari-cari maklumat tentang bagaimana untuk membuka kedai buku. Namun tidak banyak yang dijumpai. Ada beberapa perbincangan di forum-forum namun kebanyakkan hambar kerana yang terlibat dalam perbincangan itu tidak terlibat dengan bisnes kedai buku. Ada beberapa buku yang ditulis oleh penulis barat namun tidak banyak yang dapat dijadikan panduan untuk diamalkan di Malaysia.

2. Saya terpaksa memulakan bisnes kedai buku ini dengan sedikit ilmu yang diperolehi daripada belajar dari pengusaha-pengusaha yang kedai buku yang sudah lama dalam bisnes ini.

3. Setelah berada dalam bisnes ini selama setahun, saya dapati industri ini sebenarnya cerah dan boleh menjamin masa depan yang cerah kepada pengusaha-pengusaha kedai buku. Ada beberapa keistimewaan bisnes ini yang tidak ada pada bisnes lain, umpamanya boleh dikatakan bisnes ini kalis gawat kerana bebarapa faktor. Antaranya ialah ada bebrapa barangan yang “wajib” dibeli seperti alatulis, dan buku rujukan, yasin, Quran dan majalah dan akhbar.

4. Dalam industri ini, ramai juga pengusaha kedai buku yang gulung tikar dan tidak dapat bertahan lama. Tetapi ada juga yang terus berjaya membuka cawangan dan berkembang. Contohnya ialah rangkaian buku Rythm menutup semua operasinya diseluruh Malaysia kerana tidak dapat bertahan tetapi rangkaian buku Popular terus berkembang dengan pesatnya dari setahun-ke setahun.

5. Kesimpulannya, walaupun bisnes ini berpotensi besar, namun perlu menggunakan strategi yang betul. Untuk menggunakan strategi yang betul, perlulah mendapatkan ilmu dan maklumat yang betul.

6. Apabila saya menulis di blog tentang kedai buku, terdapat bebarapa maklum balas yang mahukan maklumat cara-cara membuka kedai buku. Saya sangat ingin membantu mereka namun tidak sempat membalas semua pertanyaan. Saya fikir alangkah baiknya jika saya dapat berkongsi ilmu dengan menulis sebuah buku tentang bisnes kedai buku.

7. Apabila berniat menulis buku, penerbit pertama pilihan saya ialah PTS kerana saya sudah mempunyai pengalaman baik dengan syarikat tersebut. Namun, masalahnya PTS ialah penerbit swasta yang mengamalkan strategi “kueh tempah”. Jika tidak banyak permintaan, judul tersebut tidak akan diterbitkan.

8. Oleh itu, saya minta kerjasama kepada sesiapa yang membaca tulisan saya ini memberi komen. Mungkin komen saudara dapat membantu saya menilai adakah menulis buku tentang bisnes kedai buku patut atau sebaliknya.