Archive for January, 2010

1. Terima kasih kepada yang memberi respon pada artikel lepas. Nampaknya sambutan tentang bisnes kedai buku tidak menggalakkan.

2. Namun begitu, saya tetap komited untuk menolong sesiapa yang mahu bertanya persoalan tentang kedai buku. Tak payah bayar, semuanya PERCUMA.

3. Caranya ialah add saya di Yahoo Mesengger. Id saya ialah myfakhrul@yahoo.com. Satu lagi add saya di facebook. www.facebook/fakhrulrazi.

4. Saya akan cuba menjawab persoalan anda tentang kedai buku semampu saya.

5. Semoga pertolongan kecil saya dapat menambahkan lagi bilangan kedai buku di Malaysia seterusnya meningkatkan budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia.

1. Sebelum membuka kedai buku, saya banyak mencari-cari maklumat tentang bagaimana untuk membuka kedai buku. Namun tidak banyak yang dijumpai. Ada beberapa perbincangan di forum-forum namun kebanyakkan hambar kerana yang terlibat dalam perbincangan itu tidak terlibat dengan bisnes kedai buku. Ada beberapa buku yang ditulis oleh penulis barat namun tidak banyak yang dapat dijadikan panduan untuk diamalkan di Malaysia.

2. Saya terpaksa memulakan bisnes kedai buku ini dengan sedikit ilmu yang diperolehi daripada belajar dari pengusaha-pengusaha yang kedai buku yang sudah lama dalam bisnes ini.

3. Setelah berada dalam bisnes ini selama setahun, saya dapati industri ini sebenarnya cerah dan boleh menjamin masa depan yang cerah kepada pengusaha-pengusaha kedai buku. Ada beberapa keistimewaan bisnes ini yang tidak ada pada bisnes lain, umpamanya boleh dikatakan bisnes ini kalis gawat kerana bebarapa faktor. Antaranya ialah ada bebrapa barangan yang “wajib” dibeli seperti alatulis, dan buku rujukan, yasin, Quran dan majalah dan akhbar.

4. Dalam industri ini, ramai juga pengusaha kedai buku yang gulung tikar dan tidak dapat bertahan lama. Tetapi ada juga yang terus berjaya membuka cawangan dan berkembang. Contohnya ialah rangkaian buku Rythm menutup semua operasinya diseluruh Malaysia kerana tidak dapat bertahan tetapi rangkaian buku Popular terus berkembang dengan pesatnya dari setahun-ke setahun.

5. Kesimpulannya, walaupun bisnes ini berpotensi besar, namun perlu menggunakan strategi yang betul. Untuk menggunakan strategi yang betul, perlulah mendapatkan ilmu dan maklumat yang betul.

6. Apabila saya menulis di blog tentang kedai buku, terdapat bebarapa maklum balas yang mahukan maklumat cara-cara membuka kedai buku. Saya sangat ingin membantu mereka namun tidak sempat membalas semua pertanyaan. Saya fikir alangkah baiknya jika saya dapat berkongsi ilmu dengan menulis sebuah buku tentang bisnes kedai buku.

7. Apabila berniat menulis buku, penerbit pertama pilihan saya ialah PTS kerana saya sudah mempunyai pengalaman baik dengan syarikat tersebut. Namun, masalahnya PTS ialah penerbit swasta yang mengamalkan strategi “kueh tempah”. Jika tidak banyak permintaan, judul tersebut tidak akan diterbitkan.

8. Oleh itu, saya minta kerjasama kepada sesiapa yang membaca tulisan saya ini memberi komen. Mungkin komen saudara dapat membantu saya menilai adakah menulis buku tentang bisnes kedai buku patut atau sebaliknya.

1. Antara kajian yang biasa kita dengar tentang bisnes ialah sekiranya sesuatu bisnes yang baru dibina dapat bertahan selama 3 tahun, biasanya ia akan terus bertahan dalam tempoh yang lama. Saya amat setuju dengan kajian ini.

2. Izinkan saya ceritakan pengalaman saya yang terbaru tentang bisnes kedai buku ini.

3. Saya membuka kedai buku pada awal tahun 2009. Lebih kurang seminggu selepas sekolah dibuka. Walaupun masih awal tahun, pelanggan saya tidaklah ramai disebabkan faktor masih belum dikenali. Namun, disebabkan kurang persaingan, jualan sentiasa mencecah lebih seribu ringgit sehari. Satu jumlah yang agak banyak memandangkan dengan kedai saya baru dibuka.

4. Sepanjang tahun 2009, ada beberapa kesilapan yang saya lakukan dalam menguruskan kedai ini. Yang paling banyak ialah kesilapan dalam membeli stok. Seperti yang saya ceritakan dahulu dalam post yang lepas, kesilapan ini agak mudah dilakukan berulang kali disebakan tiada pengalaman yang dapat dijadikan rujukan. Oleh itu saya sedaya-upaya mengelakkan membuat kesilapan yang sama dalam situasi yang sama. Saya berazam tidak mengulanginya pada tahun yang berikutnya.

5. Setahun berlalu. Tahun ini saya sediakan stok alat tulis yang agak banyak untuk jualan awal tahun. Mengikut rekod tahun lepas, stok sebanyak ini habis dalam dijual dalam sebulan. Jadi pada tahun ini, saya jangka akan habis dijual dalam masa seminggu. Namun saya silap. rupanya-rupanya habis dalam masa 2 hari sahaja. Kesilapan yang sama berulang lagi.

6. Kalau dahulu jualan mencecah seribu ringgit sehari. Jadi, saya menjangkakan naik kepada 2 ribu ringgit. Namun saya silap, jualan harian mencecah 3 ribu.

7. Apabila difikirkan, memang mudah saya membuat kesilapan dalam membuat perkiraan bisnes kerana saya baru berada di tahun kedua. Terlalu cetek pengalaman yang dapat dijadikan panduan.

8. Saya berharap pada tahun ini, kesilapan ini dapat dikurangkan kerana sudah ada pengalaman tahun lepas untuk dijadikan rujukan. Saya sangat bersemangat untuk memajukan bisnes ini.

9. Kepada usahawan baru ataupun yang lama tetapi membuka perniagaan baru, percayalah, bisnes biasanya akan berkembang maju apabila berjaya bertahan dalam tempoh “sumpahan” iaitu tiga tahun.